ZULKIFLI
ZULKIFLI
JEMAAH menunaikan solat sambil diimamkan Zulkifli di sebuah masjid di Zamboanga.
JEMAAH menunaikan solat sambil diimamkan Zulkifli di sebuah masjid di Zamboanga.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


“KALAU tiada pihak luar yang sudi menyalurkan sumbangan, sudah pasti kami masih terpaksa menggunakan pondok berlantaikan tanah dan berbumbung daun kelapa untuk menunaikan ibadah,” kata Zulkifli Isal, 40.

Beliau yang juga imam Masjid Awal Malandih di Kampung Malandih di Zamboanga City itu bersyukur kerana sumbangan daripada pelbagai pihak dari Turki merealisasikan impian penduduk memiliki masjid.

Menurutnya, sejak sekian lama penduduk hanya menggunakan pondok kecil untuk menunaikan ibadah dan mengadakan kuliah agama kerana ketiadaan fasiliti ibadah.

“Hasil sumbangan orang ramai dari Turki membolehkan kami membina sebuah masjid yang mampu menampung lebih 500 jemaah pada satu masa terutama ketika menunaikan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri dan Aidiladha.

“Kini kami dapat beribadah dengan selesa dan paling penting kuliah agama dapat disampaikan dengan teratur, seterusnya Islam dapat disebarkan dengan sempurna,” katanya yang pernah menetap di Sandakan, Sabah lebih 10 tahun lalu.

Katanya, penduduk kampung masih memerlukan bangunan khusus untuk membolehkan kelas agama diadakan untuk kanak-kanak dan remaja Islam.

Beliau berkata, kini mereka bergantung sepenuhnya kepada masjid untuk menjalankan kelas agama tetapi berharap ada pihak luar yang sudi menghulurkan sumbangan dana.

“Kami sudah lama terpinggir dari pembangunan yang sepatutnya diterima daripada kerajaan. Pelbagai usaha dilakukan untuk kumpul dana, tapi ia belum mencukupi.

“Majoriti penduduk bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak menentu. Jadi bagaimana kami mahu bina kemudahan untuk beribadah jika makanan kami pun perlu dicatu,” katanya.

Zulkilfli yang mampu berbahasa Melayu dengan baik itu berkata, tiada apa diharapkan penduduk selain suntikan pembangunan dan ekonomi lebih baik daripada kerajaan.

Katanya, permintaan itu sesuatu yang wajar direalisasikan pemerintah agar tidak wujud jurang pembangunan antara kawasan Islam dan bahagian lain di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 6:00 AM