PENDUDUK kampung bersama rombongan sukarelawan MyCare/Econsave di hadapan Masjid Ar Rahmah Nurul Iman yang masih dalam pembinaan.
PENDUDUK kampung bersama rombongan sukarelawan MyCare/Econsave di hadapan Masjid Ar Rahmah Nurul Iman yang masih dalam pembinaan.
Mataram (Lombok)

“SUMBANGAN ini (daripada rakyat Malaysia) amat bermakna buat kami. Ia membangkitkan semangat kami untuk meneruskan kehidupan.

“Sebelum ini kami bagaikan patah semangat selepas ditimpa gempa bumi terutama apabila melihat anak-anak terpaksa pergi ke sekolah tanpa kelengkapan sekolah yang mencukupi,” kata Ketua Dusun Dasan Baru, Kecamatan Pringgasela, Kabupaten Lombok Timur, Suherman Urun.

Sambil menahan sebak ketika berucap pada majlis perasmian Masjid Ar Rahmah Nurul Iman di kampung berkenaan kelmarin, beliau berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana sudi menghulurkan bantuan kepada penduduk kampung itu.

Menurutnya, sejak bencana gempa bumi melanda sehingga memusnahkan kebanyakan kediaman penduduk dan masjid di kampung itu pada 5 Ogos tahun lalu, belum ada sebarang bantuan dihulurkan oleh mana-mana pihak termasuk pemerintah.

Suherman berkata, pembinaan masjid berkenaan yang dijangka siap dua hari sebelum sambutan Aidilfitri pada 5 Jun ini membawa rahmat yang besar kepada penduduk untuk beribadah selain melambangkan ikatan persaudaraan dan kebersamaan yang utuh antara umat Islam di Malaysia dan Indonesia.

“Kita harus yakin bahawa kita harus bangkit dan kita harus menjalani kehidupan yang lebih baik ke depan ini,” katanya yang berulang kali mengucapkan syukur dan terima kasih di atas sumbangan daripada rakyat Malaysia itu.

Masjid Ar Rahmah Nurul Iman yang dibina di atas tapak seluas 10 meter x 10 meter itu mampu menampung 200 jemaah pada satu masa. Ia bukan saja direka untuk menjadi tempat beribadah, malah bakal dijadikan pusat kegiatan harian penduduk.

Sumbangan itu disalurkan oleh rakyat Malaysia menerusi Tabung Gempa Bumi Lombok yang diwujudkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Humanitarian Care Malaysia (MyCare) dengan kerjasama rangkaian pasar raya Econsave Cash and Carry Sdn Bhd.

MAS Imran (kiri) dan Dr Mohd Zin (kanan) menarik tirai papan tanda perasmian Masjid Ar Rahmah Nurul Iman di Dusun Dasan Baru. Turut kelihatan, Suherman (dua dari kanan).
MAS Imran (kiri) dan Dr Mohd Zin (kanan) menarik tirai papan tanda perasmian Masjid Ar Rahmah Nurul Iman di Dusun Dasan Baru. Turut kelihatan, Suherman (dua dari kanan).

Hasil kutipan sumbangan itu, MyCare/Econsave berjaya menyalurkan lebih RM150,000 kepada penduduk di kampung berkenaan, termasuk RM100,000 bagi membina Masjid Ar Rahmah Nurul Iman untuk menggantikan masjid asal yang musnah dalam kejadian gempa bumi itu.

Majlis perasmian masjid itu disempurnakan oleh Pengurus Besar Pasar raya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam sambil disaksikan oleh Pengerusi MyCare Johor, Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar dan Ketua Posko Keadilan Peduli Ummah (PKPU) Human Initiative Indonesia cawangan Lombok, Dedy Aris Sandi.

Majlis disusuli dengan gotong-royong menyembelih dan memasak seekor lembu serta seekor kambing untuk dijadikan juadah berbuka puasa bersama rombongan sukarelawan MyCare/Econsave dan penduduk kampung berkenaan.

Bercakap kepada media selepas majlis berkenaan, Mas Imran berkata, MyCare/Econsave menyalurkan sumbangan kira-kira RM150,000 kepada mangsa gempa bumi di beberapa kampung terpencil terutama yang tidak pernah menerima sebarang bantuan sejak dilanda bencana alam itu hampir setahun lalu.

“Masjid ini mula dibina lebih seminggu lalu dan dijangka siap dua hari sebelum hari raya (Aidilfitri).

Kita berharap masjid ini bukan saja menjadi tempat ibadah, malah juga pusat pelbagai aktiviti harian bagi menaikkan taraf sosial ekonomi masyarakat kampung ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Zin memberitahu, pihaknya turut menyerahkan sumbangan barangan keperluan harian, pek makanan kepada 200 ketua keluarga selain sumbangan peralatan sekolah kepada golongan kanak-kanak.

“Kami juga membelikan beberapa peralatan dan kelengkapan termasuk kipas, jam waktu solat elektronik serta sistem pembesar suara untuk kegunaan masjid baharu ini,” katanya.

Beliau berkata, misi #MyRamadanGempaBumi Lombok pada kali ini turut mendapat sokongan daripada Pusat Pendidikan Hidayah Berhad dan Iman ELC Sdn Bhd yang mengelolakan rangkaian Tadika dan Taska Iman dan pusat jagaan kanak-kanak di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 4:00 AM