PERSIDANGAN Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Kompleks Seri Negeri. FOTO BERNAMA
PERSIDANGAN Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-14 di Kompleks Seri Negeri. FOTO BERNAMA
Amir Mamat


Ayer Keroh: Rang Undang-Undang Perbekalan (2021) 2020 (Belanjawan Melaka 2021) yang dibentangkan pada Persidangan Ketiga (Bajet), Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Seri Negeri, di sini semalam, diluluskan dengan suara majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Seramai 17 ADUN kerajaan menyokong usul dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali itu, manakala 11 ADUN pembangkang pula mengambil sikap berkecuali.

Perkara itu diumumkan Speaker DUN Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sebentar tadi.

Belanjawan Melaka 2021 bertemakan Melaka Rumahku: Merancak Ekonomi, Membahagia Rakyat, Menggamit Dunia berjumlah RM445.86 juta dengan hasil negeri dianggarkan RM445.96 juta, sekali gus mencatat lebihan 17 tahun berturut-turut sejak 2005.

Belanjawan itu menyaksikan peningkatan peruntukan kira-kira 14.32 peratus, berbanding belanjawan tahun lalu sebanyak RM390 juta.

Ketika menggulung perbahasan berkenaan, Sulaiman berkata, kerajaan negeri bersetuju menyalurkan peruntukan secara one-off kepada ADUN pembangkang sebanyak RM60,000 untuk tahun depan dengan setiap bulan mereka akan menerima RM5,000, bermula bulan depan.

Beliau berkata, jumlah itu meningkat berbanding RM3,500 sebulan sebelum ini selepas memikirkan keperluan yang perlu dihadapi wakil rakyat berkenaan untuk membantu masyarakat yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

"Seperti yang dicadangkan oleh wakil pembangkang supaya kerajaan negeri menghulurkan tangan untuk menjalinkan hubungan sebagai rakan strategik, saya setuju dan dengan ini saya mengumumkan peruntukan one-off sebanyak RM60,000 setahun bersamaan RM5,000 sebulan.

"Jika pada pembentangan Belanjawan Melaka untuk tahun akan datang, Insya-Allah saya akan tambah lagi, asalkan kita bersama-sama saling membantu membangunkan negeri," katanya.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Timbalan Pengerusi MCA Melaka Datuk Koh Nai Kwong dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Perkara itu diumumkan Ab Rauf selepas Nai Kwong menjadi calon tunggal untuk dilantik ke jawatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 7:43 PM