Adly Zahari
Adly Zahari
Hassan Omar


Melaka: Pakatan Harapan (PH) Melaka akan memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Melaka bagi mencabar keabsahan pembentukan kerajaan sementara (caretaker) berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun), minggu depan.

Pelbagai dokumen bagi tujuan berkenaan sedang disiapkan pada peringkat akhir oleh sepasukan peguam dilantik PH dan dijangka memfailkannya selewat-lewatnya awal minggu depan.

Menjelaskan perkara itu, Pengerusi PH negeri, Adly Zahari berkata, pasukan peguam berkenaan bertungkus-lumus menyiapkan pelbagai dokumen berkaitan aspek kuasa pembubaran Dun dan kaedah pembentukan kerajaan sementara bagi memastikan ia mampu difailkan.

"PH tidak mengiktiraf kerajaan sementara dibuat secara tergesa-gesa dan bagaimana Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang sudah kehilangan majoriti di Dun boleh menasihati Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam supaya membubarkan Dun?

"Hal ini sangat pelik dan kami akan mencabar kesahihan atau keabsahan kerajaan 'caretaker' di mahkamah secepat mungkin," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Adly berkata, Sulaiman yang tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti tidak wajar menasihati Mohd Ali untuk membubarkan Dun.

Adly yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil mendakwa, pembubaran Dun dibuat tanpa mengambil kira pandangan kumpulan yang mempunyai sokongan majoriti Adun.

Dun Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu dengan pengumuman mengenainya dibuat Speaker Dun, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka dengan mendakwa ia dipersetujui oleh Yang di-Pertua Negeri.

Adly berkata, jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan, jentera PH sudah bersedia untuk merampas semula negeri ini daripada Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan jika empat bekas Adun yang menarik sokongan kepada Sulaiman sekiranya ingin menyertai parti komponen dalam PH.

Bekas Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan tiga lagi, iaitu Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dilaporkan sudah bertemu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu.

Selain itu, Idris sudah bertemu Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu tetapi Idris menafikan menerima tawaran menjadi ahli parti berkenaan.

PH sekarang mempunyai 11 kerusi, iaitu tujuh DAP, dua Amanah dan dua PKR manakala empat bekas Adun terbabit setakat ini masih menjadi Adun Bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 3:08 PM