ANJING pengesan bernama Lady dibawa menaiki bot untuk membantu mengesan Khairul Nizam. FOTO ihsan bomba
ANJING pengesan bernama Lady dibawa menaiki bot untuk membantu mengesan Khairul Nizam. FOTO ihsan bomba
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Anjing pengesan jenis Labrador digunakan dalam misi mencari dan menyelamat pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan, Khairul Nizam Omar yang dikhuatiri lemas selepas terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra di sini, Isnin lalu.

Anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bernama Lady itu memulakan tugas pada jam 9.15 pagi tadi untuk mengesan mangsa di sekitar permukaan sungai.

Pengarah Bomba Kelantan, Zainal Madasin berkata, strategi itu dilakukan bagi membantu pencarian mangsa yang sudah memasuki hari ketiga.

"Lady dibawa menaiki bot diiringi dua anggota bomba dan pencariannya adalah di sekitar permukaan merangkumi 1.5 kilometer (km) radius daripada lokasi terakhir mangsa dilihat.

"Penugasan unit K9 adalah antara satu hingga dua jam bagi mengesan potensi kedudukan mangsa berdasarkan deria bau yang akan dijadikan petunjuk kepada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zainal berkata, PPDA juga belum menjalankan proses selaman lagi untuk hari ini dan akan segera bertindak sebaik menerima isyarat daripada Unit K9.

Katanya, dengan menggunakan tiga bot milik bomba, pencarian di permukaan sungai dilakukan namun setakat ini masih belum tiada sebarang petunjuk diperoleh.

"Selain itu, lima lagi bot daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga menjalankan pencarian di luar kawasan 1.5km," katanya.

Pada tengah hari Isnin lalu, Khairul Nizam, 46, dilihat terjun ke Sungai Kelantan dengan meninggalkan sebuah motosikal jenis Honda Wave miliknya di tepi jalan.

Berita berkaitan

'Harap Yo ditemui segera sama ada hidup atau mati' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 1:04 PM