Kenderaan anggota polis dilihat keluar dari Taman Rekreasi Lembah Kiara, Taman Tun Dr Ismail.
Kenderaan anggota polis dilihat keluar dari Taman Rekreasi Lembah Kiara, Taman Tun Dr Ismail.
Mohd Azim Fitri dan Nabihah Kamal

Kuala Lumpur : Enam penjenayah bersenjatakan parang yang dikepung anggota polis selama lebih 12 jam di Taman Rekreasi Lembah Kiara, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, didapati ‘ghaib’ tanpa meninggal jejak.

Kumpulan suspek yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah dipercayai melarikan diri menggunakan lorong ‘tikus’ yang banyak terdapat di kawasan hutan simpan itu.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Azlee Abdullah berkata, kewujudan suspek disedari apabila anggota polis daripada Balai Tun Dr Ismail, di sini, melakukan rondaan cegah jenayah jam 4.30 pagi semalam.

Menurutnya, anggota polis kemudian terserempak dengan kumpulan penjenayah itu dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek berjalan di kawasan TTDI Hill Park sambil memegang senjata dipercayai parang. Suspek yang cuba ditahan bagaimanapun melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

“Susulan itu operasi Ops Tutup dilancarkan serta-merta bagi mengesan suspek yang dipercayai bersembunyi di dalam hutan Taman Rekreasi Lembah Kiara, di sini.

Menurut Azlee, operasi dan pemeriksaan rapi dijalankan di kawasan itu dengan dibantu Unit Anjing Pengesan K9.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 10:43 AM