Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Parit Buntar: Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut ditempatkan di sekatan jalan raya (SJR) di daerah Kerian, di sini, bagi membendung kemasukan bahan terlarang seperti dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner Lee King Chuan berkata, kehadiran unit berkenaan terbukti berjaya apabila pihaknya menahan 16 individu sejak 16 Januari lalu.

Menurutnya, penahanan individu terbabit kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun (AR) 1952.

Katanya, bagi tangkapan keseluruhan jenayah dadah di daerah Kerian pula, ia membabitkan seramai 226 individu atas pelbagai kesalahan sehingga April lalu.

"Penugasan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian bersama Unit K9 perlu dilakukan kerana daerah Kerian bersempadan dengan Pulau Pinang, dan Kedah sekali gus bagi mencegah aktiviti sindiket pengedaran dadah.

"Kita memeriksa kenderaan yang melalui SJR bagi membendung aktiviti pengedaran dadah, sekiranya ada khususnya yang mensasarkan laluan jalan persekutuan," katanya kepada pemberita selepas melawat satu daripada SJR terbabit, di sini, malam semalam.

Katanya, operasi secara bersepadu turut digerakkan bagi membendung masalah penyalahgunaan dadah.

Pengendali K9, Koperal Navindran Rajagopal menggunakan anjing pengesan yang dikenali sebagai 'Yaiko' bagi membendung kemasukan dadah di pintu masuk utara Perak pada sekatan jalan raya (SJR) berikutan sekatan pergerakkan di daerah Kerian. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Pengendali K9, Koperal Navindran Rajagopal menggunakan anjing pengesan yang dikenali sebagai 'Yaiko' bagi membendung kemasukan dadah di pintu masuk utara Perak pada sekatan jalan raya (SJR) berikutan sekatan pergerakkan di daerah Kerian. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

"Polis juga meminta orang ramai agar tidak memandang rendah isu penyalahgunaan dadah selain meminta semua pihak saling bekerjasama dengan menyalurkan maklumat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 1:58 PM