GAMBAR Hiasan. FOTO Zaman Huri Isa
GAMBAR Hiasan. FOTO Zaman Huri Isa
Faliq Lajim

[email protected]

LEMBAGA Peperiksaan (LP) memohon maaf kepada semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menduduki peperiksaan mata pelajaran Kimia Amali Bertulis (Kod Kertas 4541/3) kerana terpaksa menduduki peperiksaan agak lewat.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan malam ini berkata, kelewatan itu berlaku disebabkan masalah teknikal kerana pusat peperiksaan yang terbabit mengalami kekurangan kertas soalan.

Menurutnya, perkara itu sudah diselesaikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh LP.

“LP amat kesal dengan kejadian yang berlaku dan memahami akan kesukaran yang dihadapi oleh calon dan ibu bapa akibat masalah teknikal yang dihadapi.

“LP sedaya upaya memastikan kebajikan dan keadilan kepada calon sentiasa diberikan keutamaan.

“Selain itu, LP akan mengambil perhatian yang serius terhadap perkara ini agar tidak berulang pada masa akan datang,” katanya.

Kertas terbabit dijadualkan berlangsung selama satu jam 30 minit bermula 2.00 petang tadi.

KPM dalam status yang dimuat naik di Facebook turut menjelaskan kesemua calon selesai menduduki kertas terbabit sebelum 5.15 petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 11:08 PM