FOTO hiasan
FOTO hiasan
Hadzlihady Hassan


PERBUATAN seorang kaki ‘skodeng’ berakhir apabila dicekup selepas mengintai seorang wanita Indonesia sedang tidur di Taman Tangling Indah, Simpang Ampat, Nibong Tebal, hari ini.

Kejadian itu disedari jam 6 pagi oleh wanita berusia 20-an yang juga pekerja kilang selepas terdengar bunyi orang berjalan diatas bumbung rumah yang dijadikan asrama pekerja.

Kerana bimbangkan keselamatannya, wanita itu menghubungi warden asrama untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad berkata, warden terbabit menghubungi pengawal keselamatan dan polis sebelum berjaya menahan suspek berusia 52 tahun dalam rumah kosong bersebelahan asrama mangsa.

Menurutnya, siasatan mendapati ketika kejadian mangsa berada dalam rumah dan melihat seorang lelaki berada di balkoni.

“Mangsa sebelum itu mendengar bunyi tapak kaki orang berjalan di atas bumbung dan terus bangun sebelum melihat suspek berada di balkoni.

“Dia kemudian menghubungi warden sementara suspek yang menyedari kehadiran pengawal keselamatan terus melarikan diri dan bersembunyi dalam rumah kosong bersebelahan asrama mangsa,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, suspek menceroboh kawasan itu kerana mahu mengintai penghuni wanita dalam asrama.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau kerana menceroboh.

“Suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 6:47 PM