LOKASI kemalangan membabitkan penunggang motosikal di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berdekatan Taman Templer, Gombak. FOTO ihsan polis
LOKASI kemalangan membabitkan penunggang motosikal di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berdekatan Taman Templer, Gombak. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my

Gombak: Polis meminta saksi kejadian kemalangan membabitkan penunggang motosikal di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berdekatan Taman Templer di sini, yang tular di media sosial tampil membantu siasatan.

Dalam kejadian 6 petang, 1 Disember lalu, mangsa, Wan Mohd Azrael Wan Razlan, 33, yang bekerja sebagai jururawat cedera parah dan masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa menunggang motosikal dari arah Kuala Lumpur menghala ke Rawang untuk ke rumah selepas selesai tugas.

"Penunggang dipercayai hilang kawalan dan terjatuh di jalan raya menyebabkan cedera di kaki dan kepala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan awal di lokasi mendapati jalan berselekoh dan mempunyai dua lorong sehala. Namun tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan tiada saksi bebas yang tampil sehingga kini," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 013-7557556 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 6:59 PM