Penemuan mayat lelaki di Kilometer 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh terungkai apabila lelaki itu mangsa kemalangan.
Penemuan mayat lelaki di Kilometer 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh terungkai apabila lelaki itu mangsa kemalangan.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PENEMUAN mayat lelaki di tepi jalan di Kilometer 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh hari ini terungkai apabila lelaki itu adalah mangsa kemalangan.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, mayat lelaki itu ditemui orang awam 10 pagi tadi.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki itu adalah mangsa kemalangan jalan raya.

“Siasatan mendapati mangsa terbabit dalam kemalangan pada 5.45 pagi. Kejadian berlaku awal dan tiada saksi ketika kejadian.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa dirempuh lori ketika melintas jalan,” katanya.

Samsor berkata, pemandu lori yang ketakutan melarikan diri dan membuat laporan polis berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

“Mangsa dikenali Muhammad Ikhmal Ibrahim, 27, buruh elektrik di kawasan berkenaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat,” katanya.

Katanya, hasil bedah siasat mengesahkan kematian mangsa akibat pelanggaran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Suhaimi di talian 013-7557556,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 10:00 PM