TIAN Chua (tengah) hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
TIAN Chua (tengah) hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Muhd Zaaba Zakeria.
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur, memutuskan bahawa bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua atau Chua Tian Chang, boleh bertanding dalam pilihan raya pada masa akan datang.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu di dalam kamarnya selepas membenarkan permohonan Tian Chua terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kelayakannya untuk bertanding pilihan raya.

Dalam keputusannya, Mariana bersetuju bahawa keputusan dua mahkamah sebelum ini yang memutuskan Tian Chua boleh bertanding walaupun ada dikenakan hukuman denda RM2,000 terhadapnya adalah tidak salah.

Mahkamah memutuskan bahawa ia dibuat berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan hukuman denda RM2,000 tidak akan menjejaskan hak atau menghilangkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen.

Beliau juga memutuskan bahawa Tian Chua tidak pernah pada bila-bila masa hilang kelayakan untuk bertanding.

Perkara itu disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Md Azizan Arshad yang mewakili SPR.

Sementara itu, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Tian Chua ketika ditemui berkata, mahkamah memutuskan bahawa tindakan SPR adalah tidak adil serta tidak munasabah dalam menolak permohonan Tian Chua sebelum ini.

Pada , 26 April lalu Tian Chua memfailkan permohonan untuk deklarasi bahawa dia adalah seorang yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya dan pilihan raya kecil.

Selain itu, Tian Chua juga memohon deklarasi bahawa tidak adil untuk menafikan kelayakan dan haknya untuk bertanding.

Berdasarkan affidavit, Tian Chua mendakwa dia layak mengikut Perkara 48(1)(e)Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, keputusan kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam menjelaskan bahawa kelayakan dan haknya untuk bertanding tidak terjejas oleh hukuman yang dijatuhkan.

Tambah Tian Chua, bekas Yang di-Pertua Dewan Rakyat Malaysia, Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga ada membuat pengumuman bahawa kedudukannya sebagai Ahli Parlimen terus kekal dan tidak mendapat sebarang bantahan berhubung perkara itu.

Tian Chua mendakwa pernah menjadi calon, bertanding dan menang menjadi ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 tanpa sebarang bantahan.

Berdasarkan affidavit sokongan, Tian Chua mendakwa pegawai pilihan raya gagal mengambil kira semua fakta dan menyebabkan pencalonannya ditolak ketika Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebelum ini terdapat dua keputusan mahkamah tinggi berasingan yang menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadapnya atas kesalahan menghina pegawai polis dan mengganggu penjawat awam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 6:30 PM