Muhammad Apendy Issahak


PEMANDU treler membawa muatan tiang konkrit yang terjatuh di Kilometer 256.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Terowong Menora, Kuala Kangsar, hingga mengorbankan dua nyawa malam kelmarin dibebaskan dengan jaminan polis.

Lelaki berusia 41 tahun itu sebelum ini ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak arah utara selepas kemalangan yang membabitkan keseluruhan tujuh kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangannya dirakamkan.

“Pemandu treler itu sudah dibebaskan dengan jaminan, tiada reman dikenakan dan ujian air kencing ke atas pemandu treler berkenaan juga didapati negatif,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan masalah brek dipercayai punca kejadian sebuah treler gagal dikawal menyebabkan dua tiang konkrit terjatuh mengenai beberapa kenderaan dan mengakibatkan kematian dua lelaki.

Razali berkata, siasatan awal mendapati treler membawa 18 tiang konkrit itu dalam perjalanan menuju utara.

Menurutnya, kemalangan jam 9.30 malam itu membabitkan tujuh kenderaan iaitu dua treler dan lima kereta jenis Honda City, Perodua Axia, Nissan Sylphy, Proton Iriz dan Mercedes.

Katanya, mangsa yang maut ialah pemandu Honda City, Leong Woei Ser, 34, dan penumpang belakangnya, Cheah Kim Seng, 60, manakala dua wanita yang menaiki kereta sama mengalami kecederaan parah.

Berita berkaitan

Tiang konkrit ragut 2 nyawa

Pemandu treler tiang konkrit jatuh ditahan

Dua maut, dua cedera naik kereta sama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 3:12 PM