SAZALI menunjukkan bagasi yang diubah suai untuk menyeludup dadah pada sidang media di KLIA2 hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
SAZALI menunjukkan bagasi yang diubah suai untuk menyeludup dadah pada sidang media di KLIA2 hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Samadi Ahmad


Sepang: Dua sindiket pengedaran dadah tumpas susulan penahanan keldai dadah warga asing dan lelaki tempatan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Penahanan pada 27 September lalu turut merampas pelbagai jenis dadah dianggar 10 kilogram (kg) bernilai RM1.3 juta.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/ Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, individu pertama ditahan anggota JKDM Cawangan Narkotik dengan kerjasama Cawangan Pemeriksaan Penumpang KLIA pada 9 pagi.

Katanya, lelaki warga emas dari Korea berusia 83 tahun itu masuk menggunakan pas pelancong dengan menaiki pesawat Qatar Airways, berlepas dari Doha pada 26 September.

"Pemeriksaan ke atas dua bagasi dibawanya menemui dua bungkusan berwarna perak yang tersembunyi di bahagian dalam bagasi berkenaan yang sudah diubah suai.

"Ia didapati dadah jenis kokain seberat 3.85kg yang dianggar bernilai RM770,000, manakala warga emas itu pula disyaki dijadikan keldai dadah dengan semakan rekod mendapati dia pernah masuk ke negara ini pada 16 September lalu," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA2 di sini, hari ini.

Sazali berkata, kes kedua pula menahan lelaki tempatan berusia 21 tahun pada 11.20 malam ketika dia menuntut bagasinya di kaunter 'lost & found' sebuah syarikat penerbangan.

"Lelaki berkenan membatalkan penerbangan ke Taiwan lima hari terdahulu dan ketika pengimbasan bagasi dibuat, anggota JKDM mengesan objek kehijauan di dalam satu kotak permainan dan enam kotak makanan disyaki dadah," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati objek itu dalam bentuk 14 bar mampat serbuk putih yang juga heroin dengan anggaran berat 4.95kg bernilai RM438,000.

Katanya, turut ditemui lima peket ketulan kristal disyaki ketamin dianggarkan bernilai RM60,000.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah dirampas daripada dua kes itu boleh digunakan kira-kira 50,000 penagih.

"Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 5:07 PM