Siti A'isyah Sukaimi


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan seludup dadah disyaki jenis Methamphetamine seberat kira-kira 5.15 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM360,500 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang jam 7 pagi, semalam.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Hamzah Sundang berkata, bahan terlarang itu disorok pada ruang khas di dalam bagasi dibawa suspek lelaki warga India berusia 55 tahun.

"Suspek terbabit tiba di KLIA menaiki pesawat dari Chennai, India serta ditahan selepas imbasan dibuat ke atas bagasinya.

"Hasil imbasan dan pemeriksaan lanjut mendapati ada serbuk kristal putih disyaki dadah jenis Methamphetamine," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA, Sepang hari ini.

Hamzah berkata, siasatan mendapati, dadah yang dirampas itu dibawa ke Malaysia dan bukan transit ke negara lain.

"Malah, pemeriksaan mendapati, ini kali keenam suspek memasuki Malaysia sepanjang tahun ini.

"Suspek juga mengatakan dia bekerja sebagai petani di negaranya," katanya.

Dalam pada itu, siasatan ke atas suspek dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 6:19 PM
Hamzah (dua kanan) menunjukkan dadah yang disorok pada ruang khas di dalam bagasi yang dibawa suspek lelaki warga India berusia 55 tahun. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hamzah (dua kanan) menunjukkan dadah yang disorok pada ruang khas di dalam bagasi yang dibawa suspek lelaki warga India berusia 55 tahun. FOTO Mohd Fadli Hamzah