Shamsul Munir Safini


DUA individu didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini, atas pertuduhan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada pengawal keselamatan, M Pumugan, 28 dan penjaga stor, M Thanagaraj, 26.

Ia berikutan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Pumugan didakwa memiliki item yang berunsurkan keganasan atau berkaitan LTTE di dalam telefon bimbitnya di parkir di Lorong Industri Ringan, Permatang Tinggi, Seberang Perai Tengah, 3.16 petang, pada 12 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Pumugan dituduh melakukan perbuatan sama di sebuah rumah di Jalan Juru, Bukit Mertajam, 4.15 petang, pada tarikh sama.

Thanagaraj, 26, pula didakwa memiliki item berunsur perbuatan keganasan membabitkan LTTE di dalam telefon bimbit miliknya di sebuah restoran di Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, 10 pagi, 12 Oktober lalu.

Selain itu, dia didakwa atas pertuduhan kedua melakukan perbuatan sama di sebuah rumah di Taman Sejahtera, Seberang Perai Tengah, 11 pagi pada tarikh sama.

Bagi setiap pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 130 JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakan mana-mana item berkenaan.

Prosiding berjalan berasingan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus dan Hakim Noor Aini Yusof.

Kedua-dua hakim bagaimanapun tidak membenarkan ikat jamin ke atas kedua-dua tertuduh dan menetapkan 16 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita berkaitan

LTTE: 2 lagi didakwa di Kuala Kangsara

LTTE: 2 ADUN Melaka didakwa

LTTE: Seorang lagi didakwa di Selayang

LTTE: Guru pun didakwa

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 4:22 PM