DATIN Seri Zizie Izette A. Samad, isteri bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Bhd, Datuk Seri Bung Mohktar, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DATIN Seri Zizie Izette A. Samad, isteri bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Bhd, Datuk Seri Bung Mohktar, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Sarah Zulkifli dan Nor Azura Abdul Jalil


PELAKON, Datin Seri Zizie Izette mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan bersubahat dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin memperoleh rasuah membabitkan RM2.8 juta berhubung Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (FELCRA), empat tahun lalu.

Zizie Izette atau nama penuhnya Zizie Izette A Samad, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas jurubahasa membacakan ketiga-tiga pertuduhan kepadanya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Bung Moktar, 60, yang ketika itu sebagai sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad telah secara rasuah memperoleh wang suapan keseluruhan RM2.8 juta.

Ia sebagai upah kepada Bung Moktar mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Kesemua wang itu diberi dua ejen pelaburan Public Mutual Berhad iaitu Madhi Abdul Hamid, 38, dan Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Iktikal Sequel Fund (PITSEQ) yang mana akaun itu di bawah nama Zizie Izette.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati, No 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati, Kuala Lumpur, pada 12 dan 19 Jun 2015.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Zizie Izette didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], dan boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM100,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan 10 Jun ini.

Berita berkaitan

Ahli Parlimen dan isteri ditahan SPRM

[UPDATE] Bung Moktar dan Zizie Izette ditahan SPRM

Bung Moktar didakwa

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 10:47 AM