Ibrahim Isa


LAPAN lelaki Malaysia berdepan hukuman penjara 30 tahun dan 15 sebatan jika sabit kesalahan atas tuduhan menyeludup masuk air ketum ke Singapura.

Mereka yang berusia 21 tahun hingga 47 tahun itu ditahan pihak berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) dalam beberapa siri tangkapan di Kompleks Kastam dan Imigresen (KIK) Woodlands, Singapura.

ICA dalam kenyataan media memberitahu, kratom atau dikenali sebagai ketum, air ketum, ithang, biak-biak, kakuam atau thom mengandungi ‘Mitragynine’ dan ‘7-Hydromitragynine’ yang juga bahan kawalan mengikut Akta Penyalahgunaan Dadah republik berkenaan.

Menurut kenyataan itu, lapan lelaki Malaysia itu ditahan menerusi beberapa siri tangkapan pada September 2019 ketika cuba membawa masuk lebih empat liter cecair dipercayai ketum.

Menurutnya, cecair itu dibawa menggunakan botol yang kemudian ditemui di dalam kereta atau bersama barangan peribadi.

Semua rampasan diserahkan kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) untuk siasatan lanjut.

“Dalam satu kes membabitkan suspek berusia 47 tahun yang juga pemandu bas pendaftaran Malaysia, pemeriksaan pegawai ICA menemui botol mengandungi air ketum.

“Selain itu, pemeriksaan pegawai CNB menemui satu paket dipercayai digunakan untuk menyimpan dadah jenis ice.

“Mengimport bahan kawalan dan larangan ke Singapura adalah satu kesalahan dan boleh dijatuhkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 15 kali sebatan,” kata kenyataan itu.

ICA sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan lain bagi menjaga pintu masuk republik berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 3:08 PM