Kotak pembesar suara kereta yang diubah suai untuk menyeludup 10 anak anjing dan dua anak kucing.
Kotak pembesar suara kereta yang diubah suai untuk menyeludup 10 anak anjing dan dua anak kucing.
Ibrahim Isa

TINDAKAN dua wanita masing-masing warga Singapura dan Filipina mengubah suai kotak pembesar suara kereta untuk menyeludup masuk 10 anak anjing dan dua anak kucing di laluan kenderaan Kompleks Kastam dan Imigresen (KIK) Woodlands Singapura, membawa padah apabila ditahan pihak berkuasa republik itu Jumaat lalu.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) dalam satu kenyataan berkata, kecekapan anggota dan pegawainya di pintu masuk berjaya membongkar taktik penyeludupan itu.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kotak pembesar suara kereta itu membawa penemuan 12 haiwan yang diberikan bius membabitkan 10 anak anjing dan dua anak kucing.

“Selepas menemui semua haiwan itu, kami menyerahkan wanita Singapura berusia 32 tahun dan rakannya, wanita Filipina berusia 26 tahun kepada pihak berkaitan untuk menjalankan siasatan.

“Pada masa sama, kami menyerahkan 12 anak haiwan itu kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut termasuk dikuarantin.

“Mengimport mana-mana haiwan termasuk burung ke Singapura tanpa lesen adalah satu kesalahan dan jika didapati bersalah, seseorang itu berdepan denda maksimum SGD10,000 (RM30,000) atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya,” katanya.

Menurutnya, disebabkan mahu menyeludup semua haiwan berkenaan ia terpaksa dimuatkan di dalam tempat kecil dan ia bukan saja boleh menyeksa haiwan berkenaan malah menyebabkan kematian.

Katanya, kekejaman ke atas haiwan adalah satu kesalahan dan boleh didenda maksimum sehingga SGD15,000 (RM45,000), dipenjara sehingga 18 bulan atau kedua-duanya untuk kesalahan kali pertama.

ICA berkata, kaedah penyeludupan itu membimbangkan pihaknya kerana ia disyaki sering digunakan untuk menyeludup pelbagai barangan ke Singapura.

Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa Singapura sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bagi mematahkan cubaan menyeludup ke republik berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 9:17 PM