GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izlaily Nurul Ain Hussein


PIHAK Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura menahan seorang wanita Malaysia kerana disyaki memandu di bawah pengaruh dadah.

ICA Singapura dalam satu kenyataan media di laman web rasminya hari ini berkata, penahanan wanita itu dibuat jam 8.35 malam, pada 3 April lalu.

Katanya, pemandu wanita itu memandu sebuah kereta dengan nombor pendaftaran Malaysia sebelum diminta memberhentikan kenderaannya oleh Pegawai Polis Bantuan Trafik (TP) yang menjaga lalu lintas laluan menuju ke Pusat Pemeriksaan Woodlands.

"Wanita warga Malaysia berusia 28 tahun itu tidak mematuhi arahan pegawai berkenaan lalu membelok ke kanan ke kawasan yang tidak dibenarkan dari 'Woodlands Centre Road' ke arah pusat pemeriksaan.

"Wanita berkenaan kemudian diarahkan ke pos kawalan trafik di Persimpangan Woodlands untuk urusan saman, namun ketika memandu ke pos kawalan itu, dia memandu laju secara bahaya dan hampir melanggar pegawai ICA Singapura," katanya.

Menurut kenyataan itu, apabila kereta dipandu wanita itu berhenti di tempat pemeriksaan, wanita berkenaan enggan turun daripada kereta dan mengunci dirinya di dalam kenderaannya.

Katanya, pegawai bertugas mendapati wanita itu seolah-olah mengalami kesukaran bernafas selepas dilihat mengambil satu pil berwarna putih.

"Walaupun kami cuba memujuknya untuk membuka kunci pintu kereta itu, dia tetap enggan dan menyebabkan pegawai kami terpaksa memecahkan tingkap penumpang hadapan kereta dan menghubungi ambulans.

"Bagaimanapun, selepas mendapati keadaan wanita itu stabil dan tidak perlu dibawa ke hospital, kami bertindak menahannya bagi membantu siasatan kerana tidak mematuhi arahan pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pada tubuh dan kenderaan dipandu wanita itu oleh unit K9 polis menemui satu bungkusan dipercayai mengandungi Erimin 5 pada konsol tengah kereta, manakala satu lagi pil Erimin 5 ditemui di dalam beg tangannya.

"Kita mengesyaki wanita itu memandu kereta di bawah pengaruh dadah dan apabila pegawai mengambil contoh permukaan tangan serta barangannya, kami dapati keputusan positif menunjukkan kehadiran dadah, malah dia memiliki 'vape' yang dipercayai mengandungi bahan terlarang.

"Kita menyerahkan wanita itu serta kenderaannya kepada pihak polis dan Biro Narkotik Pusat (CNB) untuk siasatan lanjut," katanya.

Pada masa sama, ICA Singapura mengingatkan sempadan republik itu adalah barisan pertahanan pertama mereka dalam menjaga keamanan Singapura dan pemeriksaan keselamatan adalah amat penting bagi menjaga keamanan.

"Kita akan terus melakukan pemeriksaan terhadap penumpang dan kenderaan di pusat pemeriksaan untuk mencegah percubaan menyeludup orang, ubat-ubatan, senjata, bahan peledak atau pelbagai bahan terlarang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 7:37 PM