GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Fardy Bungga


EMPAT lelaki termasuk remaja berusia 14 tahun ditahan selepas disyaki membuli pengguna jalan raya di Jalan Papar-Kota Kinabalu, Bukit Melinsung, Papar kelmarin.

Dalam kejadian 9.15 malam itu, empat individu berkenaan yang menaiki Perodua Kenari dikatakan berselisih dengan sebuah lagi kenderaan dipandu lelaki berusia 20-an.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, akibat tidak puas hati, kumpulan suspek kemudiannya mengekori lelaki itu sebelum memintas kenderaan mangsa secara tiba-tiba.

Katanya, mangsa terpaksa memberhentikan kenderaannya di tengah jalan untuk mengelakkan terlanggar dengan kenderaan kumpulan suspek terbabit.

“Semua suspek turun dari kereta dan terus memecahkan cermin hadapan kenderaan mangsa dipercayai menggunakan alat pembuka tayar.

“Mangsa yang ketakutan terus meninggalkan tempat kejadian sebelum membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bartholomew berkata, hasil siasatan empat suspek itu ditahan kira-kira sejam selepas kejadian oleh anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV).

Katanya, semua suspek yang ditahan adalah lelaki tempatan berusia lingkungan 14 hingga 26 tahun.

“Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar untuk siasatan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan khianat kepada mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 5:04 PM