GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Juwan Riduan


Papar: Selepas lebih 36 jam menjadi buruan polis, dua penjenayah yang meloloskan diri selepas merempuh kenderaan polis ketika cuba ditahan Rabu lalu, berjaya diberkas semalam.

Kedua-dua suspek berusia 20 dan 35 tahun berkenaan ditahan pada jam 4.40 petang di sebuah stesen minyak di Jalan Kimanis- eningau, di sini.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, suspek ditahan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar selepas mengesan mereka di lokasi berkenaan hasil risikan dan maklumat awam.

Katanya, turut dirampas kereta Perodua Bezza yang digunakan suspek dalam kejadian rempuh kenderaan polis untuk melarikan diri Rabu lalu.

"Siasatan mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit sekurang-kurangnya 10 kes kecurian kabel telekomunikasi membabitkan nilai kira-kira RM100,000.

"Suspek bersama barang rampasan kemudiannya dibawa ke IPD Papar untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui, di pejabatnya, hari ini.

Batholomew berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek positif dadah Metaphemanine dan Amphetamine selain masing-masing mempunyai empat kes jenayah lampau.

Katanya, kedua-dua suspek akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan keranamencuri dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan cubaan membunuh.

"Polis mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat dan penduduk di sekitar dearah ini di atas maklumat dan kerjasama sehingga semua suspek yang dikehendaki ini diberkas," katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, kedua-dua suspek yang dikesan aktif melakukan kegiatan curi kabel sejak tahun lalu cuba ditahan polis selepas penahanan seorang lagi rakan mereka berusia 19 tahun.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 10.30 malam itu, kedua-dua suspek bertindak agresif dengan merempuh kenderaan pihak berkuasa sebelum melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Julai 2021 @ 3:49 PM