LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
Juwan Riduan


KELIRU keadaan jalan yang dalam pembinaan dan tiada lampu jalan dipercayai antara faktor dua kenderaan bertembung yang mengorbankan tiga nyawa dalam kemalangan di Kilometer 19, Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu, dekat Papar, malam tadi.

Kemalangan jam 8.30 malam itu membabitkan kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger dan Mitsubishi Pajero Sport.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew AK Umpit berkata, kemalangan itu menyebabkan Idus@Marius Gantak, 64; Muah Kising, 60 dan Jebol Godog, 61 yang menaiki Ford Ranger maut di tempat kejadian.

Selain itu, tiga yang lain Norafny Bibas, 37, Adi Peter, 36 dan seorang lagi yang hanya dikenali sebagai John, parah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Ford Ranger dinaiki lima lelaki dari arah Kampung Tanaki ke Kampung Talantang, Bongawan manakala Mitsubishi Pajero Sport dinaiki dua individu dari arah Keningau ke Kota Kinabalu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua kenderaan bertembung menyebabkan pemandu dan dua penumpang Ford Ranger maut di tempat kejadian, manakala dua penumpang kenderaan itu parah dan cedera ringan.

“Pemandu dan penumpang Mitsubishi Pajero Sport juga parah. Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Papar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Batholomew berkata, siasatan awal mendapati kawasan tempat kejadian gelap.

Ini kerana, katanya, ia tidak mempunyai lampu jalan dan tempat kejadian masih dalam pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.

“Pengguna masih keliru dengan jalan raya yang belum siap sepenuhnya.

“Kedua-dua kenderaan juga dipercayai dipandu laju menyebabkan pemandu gagal mengelak.

“Kesan remukan pada kedua-dua kenderaan sangat teruk akibat pertembungan yang kuat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Berita berkaitan

Tiga maut, tiga parah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Februari 2020 @ 12:37 PM