LOKASI Lelaki warga emas maut selepas dipercayai membakar diri di garaj kereta rumahnya hari ini. FOTO Ihsan PDRM
LOKASI Lelaki warga emas maut selepas dipercayai membakar diri di garaj kereta rumahnya hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI warga emas maut dipercayai membakar diri di garaj kereta rumahnya di Kampung Melayu Seri Gombak, Gombak hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anak mangsa yang memaklumkan bapanya berusia 74 tahun membakar diri di rumah mereka 9.10 pagi tadi.

“Anak lelaki mangsa keluar rumah sebelum ternampak ayahnya terbaring di garaj kereta dengan seluruh anggota badannya terbakar.

“Anak mangsa kemudian memadamkan api dengan menyiram air sehingga api padam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Samsor berkata, anak lelaki mangsa menghubungi ambulans sebelum bapanya disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Berdasarkan keterangan anaknya, mangsa ada masalah mental dan masih menerima rawatan di Hospital Selayang.

“Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut dipanggil untuk melakukan pemeriksaan dan mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kejadian itu,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat yang akan dilakukan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 6:43 PM