FENOMENA ikan mati, air sungai berbau busuk dan bertukar warna menjadi hitam sejak beberapa hari lalu, di Kampung Segaliud, Sandakan, berpunca daripada sisa buangan kilang di kawasan berhampiran. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
FENOMENA ikan mati, air sungai berbau busuk dan bertukar warna menjadi hitam sejak beberapa hari lalu, di Kampung Segaliud, Sandakan, berpunca daripada sisa buangan kilang di kawasan berhampiran. FOTO Hazsyah Abdul Rahman
Hazsyah Abdul Rahman


JABATAN Alam Sekitar (JAS) Sabah mengesahkan pencemaran yang berlaku di Sungai Segaliud, Sandakan, akibat sisa buangan kilang di kawasan berhampiran.

Pengarahnya, Amirul Aripin berkata, laporan berhubung pencemaran itu diterima pada 26 September lalu dan pada hari yang sama sepasukan pegawai menjalankan pemeriksaan di sungai terbabit.

Katanya, siasatan mendapati punca kejadian dipercayai daripada sisa kilang yang sudah dikenal pasti.

“Dakwaan pencemaran berlaku di Sungai Segaliud didapati berasas berdasarkan siasatan pihak kami.

“Pihak kami ketika ini giat menjalankan proses pengumpulan bukti di lapangan dan dalam masa terdekat, kami akan menyiapkan siasatan lengkap berkaitan pencemaran ini untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Amirul berkata, pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Tindakan akan diambil sekiranya mereka melanggar kesalahan peraturan yang ditetapkan.

“Kami turut berharap dalam masa terdekat ini, tindakan undang-undang dapat diambil. Kes disiasat mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliing 1974,” katanya.

Terdahulu, pada 26 September lalu penduduk kampung mendapati air Sungai Segaliud bertukar hitam selain ikan dan udang mati sebelum bangkainya timbul di permukaan sungai.

Sementara itu, nelayan, Mail Until, 44, berkata, punca pendapatan mereka terjejas sejak sungai itu tercemar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Tiada ikan dan udang boleh dipukat lagi. Semua sudah mati dan benih ikan termasuk anak ikan pun mati.

“Biasanya selepas berlaku pencemaran begini, ia akan mengambil tempoh sehingga enam bulan atau setahun baru ikan dan udang dapat dipukat semula,” katanya.

Sehubungan itu, Mail berharap perkara itu dapat diselesaikan dan dalam masa sama ada pihak yang dapat membantu mereka kerana semua nelayan di kampung itu kini sudah hilang punca pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 11:01 AM