Erika George


BERPANTANG maut sebelum ajal. Itu yang dialami wanita berumur 50 tahun apabila van sekolah dipandunya yang membawa lima murid tiba-tiba terbakar dalam insiden di hadapan Klinik Kesihatan Tatau, 6.30 pagi hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, Jankey Jikat ketika dihubungi NSTP hari ini mengesahkan, semasa kejadian, pemandu van sekolah itu dalam perjalanan menghantar lima murid ke sekolah berdekatan.

“Sejurus sampai di lokasi kejadian pada 6.53 pagi, pasukan bomba bersama-sama orang awam berusaha mengeluarkan kesemua mangsa dari van terbabit yang mana pemandu van melecur pada bahagian badan manakala seorang lagi murid cedera,” ujarnya.

Menurutnya, empat lagi murid tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pasukan bomba katanya mengambil masa hampir setengah jam memadam kebakaran yang mana api berjaya dikawal sepenuhnya pada 7.45 pagi.

Setakat ini katanya, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengetahui punca sebenar berlakunya insiden yang hampir meragut nyawa ini.

Jankey turut mengesahkan kebakaran ini telah memusnahkan sekitar 10 peratus pada bahagian enjin.

Kedua-dua mangsa kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tatau bagi mendapatkan rawatan lanjut.

KEADAAN van sekolah yang dipandu seorang wanita berumur 50 tahun bersama lima pelajar terbakar dalam perjalanan ke sekolah di hadapan Klinik Kesihatan Tatau, Bintulu. FOTO Erika George
KEADAAN van sekolah yang dipandu seorang wanita berumur 50 tahun bersama lima pelajar terbakar dalam perjalanan ke sekolah di hadapan Klinik Kesihatan Tatau, Bintulu. FOTO Erika George

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 2:38 PM