BAHAGIAN dapur milik sebuah keluarga di rumah panjang Sembawang yang musnah dalam kebakaran semalam.  FOTO Erika George
BAHAGIAN dapur milik sebuah keluarga di rumah panjang Sembawang yang musnah dalam kebakaran semalam. FOTO Erika George
Erika George


TINDAKAN pantas penduduk memadam kebakaran bahagian dapur sebuah unit kediaman di rumah panjang Sembawang Jalan Bintulu-Sibu di sini, menyelamatkan rumah panjang didiami 13 keluarga itu daripada musnah terbakar semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tatau, Jankey Jikat berkata, insiden kira-kira jam 11 pagi itu berlaku ketika kebanyakan penghuni keluar bekerja.

"Mereka bernasib baik kerana tindakan pantas penduduk yang masih ada di rumah panjang itu berjaya menyelamatkan kediaman mereka daripada musnah terbakar.

"Jika tiada tindakan pantas sudah tentu rumah panjang milik 13 keluarga itu musnah terbakar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, anggotanya turut dihantar ke lokasi rumah panjang itu sejurus menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan jam 11.31 pagi.

Sejurus tiba di lokasi kejadian katanya, pihak turut membantu penduduk kampung memadam kebakaran menggunakan air dari jentera pemadam.

Beliau berkata, kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh 45 minit.

Katanya, siasatan awal pihaknya mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas janakuasa elektrik yang disambung ke bilik dapur.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 2:05 PM