Erika George


NELAYAN yang sedang mencari ketam di Sungai Suai, Miri, tergamam apabila terserempak dengan seekor buaya yang sedang mengheret separuh bahagian tubuh manusia, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, kejadian kira-kira 12 tengah hari itu disaksikan nelayan terbabit bersama anak lelakinya yang sedang menaiki perahu di sungai berkenaan.

Meng Seah berkata, nelayan terbabit dalam keterangannya berkata, pada mulanya dia terkejut melihat seekor buaya sedang mengheret sesuatu.

“Selepas diperhatikan betul-betul, nelayan itu mula sedar, objek yang diheret reptilia itu adalah separuh bahagian tubuh manusia iaitu dari perut hingga kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MAYAT mangsa. FOTO Erika George
MAYAT mangsa. FOTO Erika George

Nelayan terbabit yang terkejut dengan penemuan itu kemudian memaklumkannya kepada beberapa nelayan lain.

Mereka kemudiannya menaiki perahu ke hilir sungai untuk mengesan lokasi buaya itu membawa mayat terbabit.

“Tidak lama selepas itu mereka berjaya menemui mayat itu terapung selepas ditinggalkan oleh buaya itu dan polis dihubungi memaklumkan penemuan itu,” katanya.

Katanya lagi, polis yang bergegas ke lokasi kemudiannya membuat pemeriksaan, namun gagal menemui sebarang identiti pada mayat berkenaan.

“Mayat mangsa yang memakai seluar hitam dan bertali pinggang hitam itu dikenal pasti lelaki dewasa dan terdapat kesan gigitan dipercayai buaya,” katanya.

Meng Seah berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Miri untuk bedah siasat.

“Polis meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya pergi ke Rumah Mayat Hospital Miri untuk membuat pengecaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 11:19 AM