PASUKAN SAR yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat di hari ke-9 semalam. FOTO ERIKA GEORGE
PASUKAN SAR yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat di hari ke-9 semalam. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


Tatau: Sembilan hari selepas usaha mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa bot karam di Kuala Serupai, di sini, dilakukan, operasi pencarian berkenaan ditamatkan semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, Jankey Jikat mengesahkan, usaha SAR yang dijalankan sejak Khamis minggu lalu gagal menemui sebarang petunjuk mengenai kedua-dua mangsa dan SAR dihentikan pada 4 petang semalam.

Katanya, walaupun memperluaskan kawasan pencarian sehingga empat batu nautika dari Kuala Serupai, masih tiada petunjuk ditemukan dan keputusan dibuat untuk menamatkan SAR bersepadu yang disertai pelbagai agensi keselamatan.

Katanya, SAR bersepadu bagaimanapun akan dilakukan semula sekiranya menemukan petunjuk baharu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tatau Deputi Superintendan (DSP) Dennis Bunyam berkata, siasatan berhubung kehilangan kedua-dua mangsa akan diteruskan dari masa ke masa namun bergantung kepada petunjuk baharu.

Rabu minggu lalu, Tuai Rumah (TR) Kinminsna Kasim, 58, dan pekerjanya, Pendi Salim Husin, 38, yang merupakan warga Indonesia keluar memancing menuju ke kawasan Platform Temana A.

Bagaimanapun bot dinaiki kedua-dua mangsa dijumpai terapung di kuala Serupai yang mana dikhuatiri terbalik akibat cuaca buruk dan laut bergelora.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 September 2020 @ 6:07 PM