SITI Nurhaliza (kiri) dan Mujahid pada larian Halal Fun Run, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.
SITI Nurhaliza (kiri) dan Mujahid pada larian Halal Fun Run, hari ini. FOTO Luqman Hakim Zubir.
Noor Atiqah Sulaiman


PENYANYI tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menyertai 2,600 peserta berlari sempena Halal Fun Run anjuran Karnival Rahmah 2019, pagi ini.

Program berlangsung di Dataran Putrajaya turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Mujahid berkata, larian itu tidak terhad kepada orang Islam sebaliknya turut disertai pelbagai bangsa dan agama.

Katanya, Karnival Rahmah 2019 pula berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu dan akan diakhiri dengan konsert pada Ahad.

“Larian ini adalah salah satu inisiatif RAHMAH untuk membudayakan gaya hidup sihat selain menitikberatkan aspek pemakanan halal dalam kalangan pengguna dan usahawan.

“Turut menyertai, Siti Nurhaliza yang secara tidak langsung menjadi sebahagian tarikan program,” katanya.

Terdahulu, larian yang bermula 7 pagi itu dilepaskan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

Sebelum ini, Mujahid dilapor berkata, karnival berkonsepkan ‘edutainment’ itu turut menyediakan pelbagai program dengan mesej, antaranya ialah kasih sayang, persaudaraan dan kehidupan dalam suasana harmoni.

Katanya, mesej berkenaan penting kerana Islam sentiasa mengunjurkan umatnya untuk berkasih sayang, bukan sahaja sesama Muslim tetapi kepada seluruh makhluk.

“Setiap gerai pameran mempunyai enam nilai utama RAHMAH, iaitu Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat, selain ada nilai tersendiri yang akan diterjemah dan sarat dengan mesej,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 11:32 AM