PENDUDUK Apartment Fasa 7, Presint 9 menjual minyak masak terpakai dengan harga RM1.10 sekilogram pada program pembelian minyak masak terpakai oleh 3R On Wheels (3ROW) di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
PENDUDUK Apartment Fasa 7, Presint 9 menjual minyak masak terpakai dengan harga RM1.10 sekilogram pada program pembelian minyak masak terpakai oleh 3R On Wheels (3ROW) di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Noor Atiqah Sulaiman


ALAM Flora Sdn Bhd (Alam Flora) mendapati masih ada segelintir masyarakat mengambil mudah isu pengurusan minyak masak terpakai tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, pihaknya mendapati masih ramai pengusaha kedai makan yang membuang minyak masak terpakai dalam longkang.

“Sama juga di kawasan perumahan di mana minyak masak terpakai akan dibuang di dalam sinki.

“Kita mahu mendidik mereka ini bahawa minyak masak terpakai itu sebenarnya jika dikumpul ia boleh memberi sumber pendapatan tambahan kepada mereka.

“Bagi setiap kilogram minyak masak terpakai yang dikumpul, pihak kami akan membelinya dengan harga RM 1.10 sen,” katanya ketika ditemui selepas Program Cyber Eco Hunt 2019, di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, dalam program Cyber Eco Hunt 2019, Mohd Zain berkata, ini adalah tahun kedua penganjuran program berkenaan yang disertai 30 peserta dari kalangan penulis blog, ‘influencer’, serta penyanyi.

Sementara itu, Mohd Zain berkata, pihaknya mula memberi kesedaran mengenai inisiatif pengumpulan minyak masak terpakai sejak tahun 2014.

“Inisiatif yang lebih dikenali sebagai program belian semula minyak masak terpakai itu dianjurkan oleh anak syarikat Alam Flora, DRB-HICOM Environmental Services Sdn Bhd (DHES).

“Sejak Januari hingga Ogos lalu, kutipan minyak masak terpakai khususnya di Lembah Klang adalah mencecah 90 tan.

“Malah, sejak inisiatif ini diperkenalkan pada tahun 2014, jumlah kutipan minyak masak terpakai sudah mencecah 500 tan yang dikumpulkan sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur dan Lembah Klang,” katanya.

Katanya, minyak masak yang dikumpul ini kemudiannya akan dijual untuk diproses menjadi biodiesel dan ia secara tidak langsung dapat membantu industri terbabit mendapatkan sumber bahan api.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 5:39 PM