ANGGOTA polis forensik menyiasat tempat kejadian kes samun kedai emas di Jalan Dato Bandar Tunggal, Seremban, semalam. FOTO Hazreen Mohamad
ANGGOTA polis forensik menyiasat tempat kejadian kes samun kedai emas di Jalan Dato Bandar Tunggal, Seremban, semalam. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Enam lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun sebuah kedai emas di Jalan Dato Bandar Tunggal di sini, semalam, ditahan polis dalam tempoh 12 jam.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, enam suspek berusia 22 hingga 25 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pandan dan Taman Larkin Idaman, Johor.

Menurutnya, semua suspek ditahan pada 11.30 malam susulan Op Tutup yang dilakukan untuk mengesan kenderaan suspek, maklumat awam dan risikan pihaknya.

"Hasil ujian saringan mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis ganja dan amphetamine. Semakan lanjut juga mendapati seorang suspek mempunyai rekod lampau membabitkan dadah.

"Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan, dua lelaki yang memakai topi keledar dan berkaca mata hitam dipercayai bersenjata pistol menyamun kedai emas berkenaan dan melarikan sedulang subang emas bernilai RM50,000.

Berita berkaitan:

30 saat samun RM50,000 [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 7:21 PM