CHE Zaimani (tengah) menunjukkan sepucuk pistol dan satu butir peluru hidup semasa sidang media di IPD Timur Laut, Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong.
CHE Zaimani (tengah) menunjukkan sepucuk pistol dan satu butir peluru hidup semasa sidang media di IPD Timur Laut, Georgetown, hari ini. FOTO Mikail Ong.
Hadzlihady Hassan


JUAL dadah, simpan ‘besi’. Itu dilakukan dua lelaki dipercayai sindiket mengedar dadah yang dikesan turut memiliki pistol selepas polis menyerbu sebuah kondominium di Bukit Gambir, Georgetown, semalam.

Serbuan 1.30 tengah hari itu dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut selepas melakukan risikan.

Difahamkan, dua suspek terbabit sudah empat hari menyewa di kondominium berkenaan bagi menjalankan aktiviti mengedar dadah sekitar kawasan Sungai Nibong.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, dalam serbuan itu polis turut merampas sebutir peluru hidup jenis PMC 45 auto dan pelbagai dadah.

“Pistol dibalut dengan tuala ditemui dalam beg silang dan kami masih menyiasat sama ada senjata terbabit digunakan untuk jenayah lain seperti samun atau sebaliknya.

“Antara dadah dirampas adalah 10 paket syabu, satu paket heroin, 10 pil khayal dan beberapa paket ganja,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurutnya, dua suspek berusia 19 tahun serta 36 tahun itu masing-masing mempunyai tujuh serta tiga rekod jenayah dan dadah.

Katanya, mereka sudah empat hari menyewa di kondominium terbabit untuk menjual dadah kepada pelanggan di sekitar kawasan berkenaan.

“Mereka kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 7:03 PM