DUA bot nelayan Vietnam dimusnahkan selepas mendapat perintah lucut hak daripada Mahkamah Sesyen Kota Tinggi. FOTO ihsan APMM
DUA bot nelayan Vietnam dimusnahkan selepas mendapat perintah lucut hak daripada Mahkamah Sesyen Kota Tinggi. FOTO ihsan APMM
Ibrahim Isa


DUA bot nelayan Vietnam dimusnahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) selepas mendapat perintah lucut hak oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi.

Tugas itu dilaksanakan APMM di Prospect Dockyard Sdn Bhd, Endau bermula 11 September lalu.

Pengarah APMM ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kedua-dua bot yang mempamerkan tanda nama bot kargo tempatan iaitu KARANG 3 dan MURKHAN 6 ditahan APMM pada 9 Jun 2018 selepas didapati melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.

Menurutnya, tindakan membabitkan jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai hampir RM7 juta termasuk bot, hasil tangkapan laut, diesel serta peralatan menangkap ikan.

“Pelupusan bot dengan cara dimusnahkan membuktikan ketegasan agensi dalam menguatkuasakan undang-undang negara.

“ZMTS menahan sebanyak 12 bot nelayan Vietnam dari 2018 sehingga September tahun ini atas kesalahan sama,” katanya.

Menurutnya, kerja memusnahkan bot dimulakan pada 11 September lalu oleh syarikat yang dilantik dan proses pemusnahan dilakukan di darat berikutan polisi terbaru Jabatan Perikanan Malaysia.

Katanya, polisi baru tidak membenarkan bot penangkapan ikan bukan diperbuat daripada besi ditenggelamkan di laut.

Keputusan itu diambil bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar serta tempoh ketahanan bangkai vesel berkenaan di dasar laut.

“APMM sentiasa serius dan akan meneruskan usaha membanteras pencerobohan bot nelayan Vietnam ke dalam perairan negara khususnya di perairan Johor Timur kerana jelas, aktiviti itu merosakkan ekosistem dan hidupan laut serta menjejaskan pendapatan nelayan tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 5:00 AM