DUA bot yang ditahan dalam Ops Kuda Laut oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang. FOTO Ihsan Maritim Malaysia Pahang
DUA bot yang ditahan dalam Ops Kuda Laut oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang. FOTO Ihsan Maritim Malaysia Pahang
Asrol Awang


Kuantan: Dua bot bersama 26 nelayan warga Vietnam ditahan kerana menceroboh perairan Pahang di kedudukan kira-kira 33 batu nautika timur laut Pulau Tioman, kelmarin.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, bot nelayan terbabit pada mulanya cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang ketika mengadakan Ops Kuda Laut.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim Amran Daud berkata, berdasarkan nombor pendaftaran, bot terbabit dipercayai milik nelayan asing Vietnam.

"Pemeriksaan ke atas kedua-dua bot menemui tiga tan hasil laut serta bekalan diesel sebanyak 3,000 liter.

"Semua tekong dan kru berusia antara 17 hingga 50 tahun adalah warga Vietnam dan tidak memiliki dokumen pengenalan sah," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan barang rampasan termasuk bot, peralatan menangkap ikan serta bekalan diesel dianggarkan bernilai RM2 juta.

Katanya, bot terbabit dibawa ke Pos Maritim Tanjung Gemok, Rompin dan semua nelayan ditahan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 16(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana memasuki dan menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pengenalan diri yang sah.

"Kesemua yang ditahan turut menjalani saringan Covid 19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 7:25 PM