Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Pencerobohan nelayan asing yang mencuri hasil laut negara menyebabkan Malaysia mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM4 bilion setahun.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, hasil risikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mendapati terdapat kira-kira 8,000 bot nelayan Vietnam dikesan melakukan aktiviti perikanan di perairan negara.

Beliau berkata, tindakan pemilik bot tempatan menggunakan hampir 90 peratus kru warga asing juga menjadi antara faktor pencerobohan bot nelayan asing terus berleluasa walaupun penguatkuasaan berterusan dilakukan.

"Kita dapati nelayan warga asing ini duduk tengah laut tukar kru, ada hasil mereka bawa balik ke negara mereka tetapi kebanyakan jualan berlaku di tengah laut.

"Tahun lepas sahaja, kita perhatikan ada lebih kurang 8,000 bot Vietnam lakukan operasi di tengah laut, bila pergi dekat, mereka lari.

"Daripada 8,000 bot ini, anggaran hasil tangkapan ikan dibawa balik ke negara mereka dianggarkan minimum bernilai RM4 bilion," katanya ketika ditemui selepas melakukan Program Pemantauan Pematuhan SOP PKP 3.0 di Pejabat APMM Terengganu, di sini, hari ini.

Hamzah (empat kiri) meninjau keadaan pekerja warga asing di tapak binaan. FOTO GHAZALI KORI
Hamzah (empat kiri) meninjau keadaan pekerja warga asing di tapak binaan. FOTO GHAZALI KORI

Menurut Hamzah, sebanyak 94 bot nelayan asing membabitkan seramai 965 kru daripada pelbagai negara ditahan sepanjang tahun lalu membabitkan rampasan keseluruhan bernilai RM115.75 juta.

Katanya, APMM sudah menahan 64 bot nelayan asing membabitkan 559 kru membabitkan rampasan hampir RM80 juta setakat tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 7:13 PM