BOT nelayan Vietnam dibawa ke Jeti APMM Kemaman untuk siasatan lanjut selepas ditahan kelmarin. FOTO Rosli Ilham.
BOT nelayan Vietnam dibawa ke Jeti APMM Kemaman untuk siasatan lanjut selepas ditahan kelmarin. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


CUBAAN kali pertama dua bot nelayan Vietnam merompak hasil laut negara gagal selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Chukai, kelmarin membabitkan rampasan bernilai RM1.4 juta.

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, dua bot menggunakan nombor pendaftaran KG 95858TS dan KG 93359TS itu ditahan bersama 30 nelayan berusia antara 17 hingga 60 tahun menerusi Ops Iman.

Beliau berkata, bot pertama ditahan pada jarak 104 batu nautika dari timur laut Kuala Kemaman pada 8.15 pagi manakala bot kedua ditahan pada jarak 109 batu nautika pada 9.04 pagi.

Menurutnya, hasil siasatan dalam bot pertama mendapati terdapat 21 nelayan Vietnam termasuk seorang tekong dan mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

“Bagi tangkapan kedua pula, kami terpaksa mengejar bot ini hampir 30 minit sebelum berjaya menahan sembilan nelayan termasuk seorang tekong.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot ini tidak mempunyai hasil tangkapan dan kami percaya mereka baru sahaja menceroboh ke perairan negara mencuba nasib merompak hasil laut.

“Nilai rampasan dianggarkan hampir RM1.4 juta membabitkan bot dan peralatan menangkap ikan,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan dibawa ke Jeti APMM Kemaman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa lesen dan kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia.

Menurutnya, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi tanpa lesen sah serta Seksyen 6(1) (C) dan Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.

“Bermula April hingga hari ini, sebanyak 70 bot ditahan membabitkan seramai 640 nelayan Vietnam dengan rampasan bernilai RM69.4 juta.

“Kemasukan nelayan Vietnam ke perairan negara sangat tinggi dalam tempoh tiga bulan ini kerana perairan kita mempunyai hasil tangkapan ikan yang bermutu tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Ogos 2019 @ 5:47 PM