Sekolah di Nilai dan Mantin ditutup esok berikutan IPU menunjukkan bacaan sangat tidak sihat. FOTO Adzlan Sidek
Sekolah di Nilai dan Mantin ditutup esok berikutan IPU menunjukkan bacaan sangat tidak sihat. FOTO Adzlan Sidek
Raja Noraina Raja Rahim


SEBANYAK 53 sekolah di Nilai dan Mantin ditutup esok berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan bacaan sangat tidak sihat.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, arahan itu dikeluarkan berdasarkan bacaan IPU sehingga 9 malam ini.

Menurutnya, penutupan itu membabitkan 28,073 pelajar dan murid.

“JPNS mengarahkan supaya sekolah yang berada di Nilai dan Mantin ditutup esok.

“Kehadiran guru dan kakitangan adalah seperti biasa,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, Pkharuddin berkata, sekolah di kawasan Port Dickson yang ditutup hari ini pula akan mula beroperasi semula pada esok.

Beliau mengingatkan sekolah supaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid serta guru sepanjang masa.

Berdasarkan bacaan yang dipaparkan di laman web http://apims.doe.gov.my, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU di Nilai masih sangat tidak sihat manakala Seremban dan Port Dickson tidak sihat.

Setakat 11 malam ini, Nilai merekodkan bacaan IPU 208 manakala Seremban (169) dan Port Dickson (185).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 11:31 PM