PENGAWAL Keselamatan memasang notis pemberitahuan sekolah ditutup di SK Dato' Abu Bakar, Labu Hilir, Nilai berikutan kadar IPU 120 iaitu pada tahap sangat tidak sihat. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
PENGAWAL Keselamatan memasang notis pemberitahuan sekolah ditutup di SK Dato' Abu Bakar, Labu Hilir, Nilai berikutan kadar IPU 120 iaitu pada tahap sangat tidak sihat. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Mohd Amin Jalil


“JIKA dapat memaklumkan lebih awal adalah lebih baik supaya kami dapat menguruskan persekolahan anak dengan lancar,” kata Hamidah Ahmad, 45, mengenai pengumuman penutupan sesi pembelajaran susulan masalah jerebu sedang melanda daerah ini.

Katanya, kelewatan memaklumkan mengenai perkara itu sudah tentu menyukarkan ibu bapa dalam menguruskan tugasan harian terutamanya bagi mereka yang tinggal jauh dari sekolah.

“Saya membuat semakan dari semasa ke semasa menerusi lawan web bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai Indeks Pencemaran Udara (IPU).

“Namun, maklumat disampaikan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) setakat ini dapat dikesan dengan cepat kerana saya mempunyai ramai kenalan dalam kalangan guru,” katanya yang memaklumkan anaknya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Cempaka, Nilai.

Bagi, Siti Zainab Mohd Nasir, 50, mendapat tahu mengenai penutupan sekolah hari ini daripada portal media.

Kakitangan agensi swasta itu berkata, dia sentiasa mengikuti perkembangan semasa mengenai jerebu kerana ia penting bukan saja bagi urusan persekolahan anak tetapi urusan lain di luar rumah.

“Saya perlu mengikuti perkembangan keadaan indeks terkini IPU supaya kita dapat mengatur urusan harian dengan baik dan memastikan keadaan itu tidak menjejaskan kesihatan ahli keluarga,” katanya.

Nilai antara kawasan paling teruk menerima kesan pencemaran udara akibat jerebu apabila merekod bacaan IPU diparas 205 iaitu sangat tidak sihat.

Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memaklumkan, sebanyak 53 sekolah membabitkan seramai 28,073 murid dan pelajar di Nilai dan Mantin ditutup hari ini, susulan bacaan IPU terus berada pada paras sangat tidak sihat.

Pengarah JPNS, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, bagi sekolah di kawasan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Port Dickson yang ditutup semalam sudah mula beroperasi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 6:42 PM