Nur Saliawati Salberi


SUAMI isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes kematian kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, dipercayai didera secara fizikal dan seksual di Kandang, Melaka, semalam.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka Mohd Anuar Ostadi bermula hari ini hingga 17 September.

Penahanan pasangan berusia 45 dan 36 tahun itu untuk siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak- Kanak 2001 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Difahamkan, kanak-kanak itu dijaga pasangan berkenaan sejak akhir Julai lalu selepas diserahkan ibu saudaranya.

Bagaimanapun, kira-kira 2 pagi semalam, dia dibawa suami isteri itu ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka (HM) selepas dikatakan tidak sedarkan diri.

Sumber berkata, ketika di hospital, pegawai perubatan berusaha menyelamatkan mangsa, namun tidak berjaya sebelum disahkan meninggal dunia, malah pemeriksaan pada badannya menemui kesan lebam dan parut di kepala serta paha.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris mengesahkan tahanan reman ke atas suspek sehingga 17 September.

“Bagaimanapun pihak kami masih menunggu laporan proses bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, datuk kanak-kanak malang itu yang mahu dikenali Azmi, 60-an berkata, tidak menyangka riwayat cucunya berakhir sebegitu.

“Memang terkejut dan sukar untuk menerima kejadian ini kerana dia pergi dalam keadaan sebegini.

“Saya yang tinggal di Kulai, Johor bergegas ke sini (Melaka) pagi ini selepas menerima berita sedih ini malam tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, hari ini.

Berita berkaitan

Kanak-kanak perempuan mati dipercayai didera

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 3:57 PM
SUAMI isteri didakwa mendera budak hingga mati direman tujuh hari. FOTO Rasul Azli Samad.
SUAMI isteri didakwa mendera budak hingga mati direman tujuh hari. FOTO Rasul Azli Samad.