WANITA dipercayai penjaga kepada mangsa direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ipoh. FOTO L Manimaran
WANITA dipercayai penjaga kepada mangsa direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ipoh. FOTO L Manimaran
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Seorang wanita yang dipercayai mendera kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun hingga mati direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini bermula hari ini.

Wanita berusia 26 tahun terbabit yang juga pengasuh kanak-kanak malang berkenaan dibenarkan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Nurul Asyifa Redzuan, manakala suspek tidak diwakili peguam.

Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, hasil bedah siasat mendapati kanak-kanak berkenaan meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman akibat kurang zat makanan, selain terdapat kesan luka akibat penderaan pada badan mangsa.

Menurutnya, suspek yang juga dipercayai penagih dadah ditahan polis kira-kira 2.30 petang semalam di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini dan hari ini polis meminta tahanan reman untuk menjalankan siasatan lanjut.

Harian Metro hari ini melaporkan kanak-kanak perempuan meninggal dunia dipercayai didera oleh pengasuhnya dan kematian mangsa disahkan oleh pasukan perubatan selepas dihubungi suspek yang mendakwa mangsa tidak sedarkan diri dan mengalami pendarahan pada mulut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 1:30 PM