Rizanizam Abdul Hamid


MELAKA dipilih menjadi negeri pertama untuk penggunaan van jenazah percuma bagi kegunaan fakir miskin, asnaf, mualaf dan orang kurang upaya (OKU).

Van itu yang diubah suai daripada kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang diuruskan Biro Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) Pertubuhan Kebajikan Van Jelata Selangor di bawah program Road To Jannah.

Setiausaha Agung UKVJ Abdul Hadri Hakimi Abdul Rahman berkata, Melaka akan menggunakan van itu selama dua bulan dan dalam tempoh itu pengurusan jenazah akan dibantu anggota biro.

Katanya, pihaknya dibantu badan bukan kerajaan (NGO) lain termasuk, Rakan Bersih Kubur Melaka (RBKM), Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia Cawangan Melaka (SPJM), selain Sukarelawan Tanah Wakaf Taman Maju Jasin dan Ikatan Silaturahim Brotherhood Melaka.

“Segala perbelanjaan penggunaan, termasuk penyelenggaraan van diuruskan keenam-enam NGO ini sehingga ia dipulangkan semula kepada UKVJ pada 9 November.

“Kemudian van akan dipinjamkan pula ke negeri lain di seluruh Semenanjung melalui kerjasama dengan Majlis Agama Islam negeri masing-masing,” katanya ditemui pada penyerahan van jenazah itu kepada Pengerusi RBKM Mohd Azarul Azmi Md Nor di Kampung Serkam Darat, Merlimau, Melaka hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masyarakat yang memerlukan perkhidmatan van itu boleh memohon dengan menghubungi 016-9860434 atau melayari Facebook UKVJ.

“Setiap permohonan akan disaring bagi memastikan mereka yang layak sahaja menerimanya. Diharapkan, tiada pihak yang ‘merampas’ keutamaan hak golongan ini kerana kita mahu perkhidmatan benar-benar sampai kepada golongan sasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 5:53 PM
KETUA Bilal jenazah UKVJ, Mohd Yusof Hassan (tiga dari kiri) memeriksa pengusung dalam van jenazah sebelum diserahkan kepada RBKM. FOTO Khairunisah Lokman.
KETUA Bilal jenazah UKVJ, Mohd Yusof Hassan (tiga dari kiri) memeriksa pengusung dalam van jenazah sebelum diserahkan kepada RBKM. FOTO Khairunisah Lokman.