GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


PENUNTUT sebuah kolej di Brickfields, Kuala Lumpur cedera dahi dan lebam bahu kanan selepas ditumbuk rakan sekelasnya akibat perselisihan faham antara mereka kelmarin.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, remaja lelaki berusia 18 tahun itu yang sedang belajar di dalam kelas tiba-tiba didatangi rakannya yang terus menumbuk mukanya sehingga berlaku pergelutan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, pergelutan itu kemudian dileraikan pensyarah dan penuntut lain di dalam kelas.

Menurutnya, hasil siasatan awal, mangsa memberitahu dia pada mulanya berselisih faham dengan suspek bersama seorang lagi rakan wanita mereka Selasa lalu.

“Disebabkan tidak berpuas hati ditegur mangsa menyebabkan suspek bertindak menumbuknya ketika berada di dalam kelas kelmarin.

“Mangsa cedera dahi sebelah kiri, lebam bahu kanan dan menerima rawatan di klinik swasta,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Arifai berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 September 2019 @ 6:13 PM