GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


HANYA kerana perselisihan faham berkaitan lalu lintas menyebabkan seorang juruteknik dimarahi sebelum diserang seorang lelaki di Jalan Telawi 3, Bangsar.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, Rabu lalu, lelaki berusia 27 tahun yang memberhentikan keretanya di tepi sebuah bank didatangi lelaki berusia 42 tahun menaiki Honda City yang berhenti di tengah jalan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, lelaki terbabit menuduh juruteknik itu menghalang lalu lintas dan berlaku pertengkaran antara mereka.

Menurutnya, pertengkaran itu berakhir dengan pergelutan antara mereka sehingga menyebabkan kedua-duanya mengalami luka di muka, tangan dan kaki.

“Mereka kemudian mendapatkan rawatan di hospital sebelum dirawat sebagai pesakit luar.

“Juruteknik terbabit kemudian membuat laporan di Balai Polis Travers untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arifai berkata, polis sudah merakam keterangan kedua-dua pihak dan kes berkenaan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 4:01 PM