Amrullah Abdul Abdul Karim


KELINDAN lori maut, manakala pemandunya parah selepas lori tiga tan dinaiki mereka melanggar belakang lori tangki muatan minyak sawit di Kilometer 437.2, Lebuh Raya Utara Selatan arah Kuala Lumpur, di Rawang, semalam.

Dalam nahas dekat hentian rehat dan rawat (R&R) Rawang, jam 9.50 pagi itu, mangsa, N Premkunar, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk penumpang, manakala pemandunya, G Sujhakgar, 24, patah kaki kanan.

Kedua-dua mangsa terpaksa dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, kemalangan itu membabitkan dua kenderaan berat.

“Kemalangan berlaku ketika lori tangki dipandu lelaki berusia 31 tahun hendak keluar dari susur R&R Rawang ke lebuh raya, sebelum lori dinaiki mangsa datang dari arah utara melanggar bahagian belakang lori tangki berkenaan.

“Akibat pelanggaran itu, kelindan lori tersepit dan disahkan mati di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, difahamkan ketika operasi mengalihkan kenderaan di lokasi kejadian, satu lagi kemalangan berlaku membabitkan dua kenderaan.

Kejadian itu menyebabkan kesesakan teruk sehingga lebih tujuh kilometer dari arah Bukit Tagar hingga lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 12:13 AM
KEADAAN kenderaan terbabit kemalangan berkenaan.
KEADAAN kenderaan terbabit kemalangan berkenaan.