Mangsa diberi rawatan awal selepas cedera disondol dan (kanan) babi hutan yang menyerang kakitangan pejabat pertanian mati ditembak di Taiping semalam. Foto Ihsan Pembaca
Mangsa diberi rawatan awal selepas cedera disondol dan (kanan) babi hutan yang menyerang kakitangan pejabat pertanian mati ditembak di Taiping semalam. Foto Ihsan Pembaca
Mohd Hafizee Mohd Arop


KAKITANGAN Pejabat Pertanian Daerah Larut Matang Selama (LMS) di Taiping cedera selepas disondol babi hutan yang dipercayai memasuki kawasan pejabat itu semalam.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, babi hutan berkenaan dipercayai memasuki kawasan pejabat itu melalui lubang yang terdapat pada pagar sebelum menyondol mangsa di paha kanan.

Difahamkan, babi hutan berkenaan kemudiannya berjaya ditembak anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Taiping (MPT) yang tiba di lokasi kejadian selepas mendapat kebenaran Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak.

Pengarah PERHILITAN Perak Yusoff Shariff berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira 9 pagi sebelum sepasukan anggota dari Pejabat PERHILITAN Daerah Selama ke lokasi.

Menurutnya, ketika dalam perjalanan ke lokasi kejadian, pihak Pejabat Pertanian LMS menghubungi PERHILITAN untuk meminta kebenaran bagi membolehkan penguat kuasa MPT menembak haiwan berkenaan.

“PERHILITAN memberikan kebenaran untuk menembak babi hutan itu kerana ia membahayakan dan sebaik anggota tiba mendapati haiwan itu sudah mati ditembak, manakala mangsa dilaporkan cedera di paha.

“Kakitangan PERHILITAN kemudiannya membuat pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian dan mendapati terdapat lubang pada pagar sebelum menasihatkan pejabat berkenaan untuk menutup lubang berkenaan.

“Ia adlaah bagi mengelakkan haiwan lain masuk kerana lokasi pejabat itu berdekatan dengan hutan dan berisiko untuk haiwan masuk sekiranya tidak ditutup,” katanya ketika dihubungi.

Yusof berkata, difahamkan mangsa yang cedera kemudiannya dibawa ke hospital atau klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 7:19 PM