Samadi Ahmad


Putrajaya: Perbadanan Putrajaya (PPj) akan menambahbaik sistem pengurusan pembuangan sampah sarap awam bagi mengawal kehadiran babi hutan di pusat kerajaan ini.

Pejabat Komunikasi Korporat PPj memaklumkan, selaku pihak berkuasa tempatan (PBT), PPj mengadakan kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi meningkatkan pemantauan haiwan liar berkenaan.

Katanya, sebagai inisiatif menangkap haiwan itu, pihaknya memasang perangkap di beberapa lokasi yang dikenal pasti.

Menurutnya, PPj dan Perhilitan dalam proses menyediakan pemasangan papan tanda 'kawasan lintasan hidupan liar' sebagai langkah memberi peringatan kepada pengguna jalan raya di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan haiwan liar.

"Di luar sempadan dan sekeliling pusat pentadbiran kerajaan masih terdapat belukar belum dibangunkan dan menjadi habitat kepada babi hutan.

"Sepanjang tahun ini, sebanyak 29 operasi memburu babi hutan diadakan dan sebanyak 81 eskor dilupuskan," katanya.

Hujung minggu lalu, pengunjung Alamanda, di sini, gempar dengan kehadiran seekor babi hutan yang memasuki pusat beli-belah itu.

Visual haiwan liar itu sempat dirakam pengunjung dan tular di media sosial.

Berita berkaitan

Premis 'dikunjungi' babi disertu, sanitasi

Babi hutan masuk pusat beli-belah [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 8:22 PM