Roti ceplok yang dihasilkan Razali di warungnya di Bukit Rambai, Melaka. Foto Nazri Abu Bakar
Roti ceplok yang dihasilkan Razali di warungnya di Bukit Rambai, Melaka. Foto Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

KEISTIMEWAAN roti ceplok menjadikan warung milik bekas tentera, Razali Othman di Bukit Rambai, Melaka menjadi tumpuan orang ramai.

Pelbagai golongan termasuk berketurunan India, Cina malah warga Indonesia turut menyukainya menyebabkan perniagaan yang diusahakan Razali sejak awal tahun ini menjadi tumpuan untuk penduduk bersarapan.

Dia yang sudah berniaga lebih 10 tahun di warung berkenaan turut menyediakan pelbagai hidangan termasuk roti canai, lempeng kelapa, roti jala, mee rebus, nasi lemak dan kuih mengakui roti ceplok menu pilihan utama pelanggannya.

Menurutnya, dia mendapat resipi berkenaan daripada anaknya yang pulang menjalani latihan praktikal di Indonesia dengan mencadangkannya mencuba konsep terbabit.

Katanya, atas idea anaknya itu mendorong dia mencuba dan agak mengejutkan apabila sambutan yang diterimanya amat baik.

"Roti ceplok dihasilkan ini menggunakan roti canai yang dipotong kecil dan diletakkan telur goyang separuh masak.

"Kemudiannya ditambah kuah banjir kacang dal, bagi melengkapkan hidangannya saya meletakkan sambal di bahagian atasnya," katanya.

Razali berkata, setiap pagi selepas solat Subuh dia bersama isterinya, Zizah Ninggal, 53, sudah membuka warung sambil dibantu anak, menantu dan seorang pembantu hingga 12 tengah hari.

Sementara itu, Zizah berkata, walaupun masih baru namun roti ceplok mendapat sambutan amat baik.

Menurutnya, roti ceplok yang dijual RM2.50 sepinggan itu turut digemari kanak-kanak dan warga emas berikutan ia rangup dan lembut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 12:09 PM