Mohd Sabran Md Sani


GERAI Roti Canai 50 sen di Taman Tampoi Utama, Johor Bahru mempunyai keistimewaan tersendiri apabila harganya tidak pernah berubah sejak 20 tahun lalu, selain menggunakan konsep layan diri dan mampu menjual sehingga 800 keping roti canai sehari.

Gerai itu yang mempunyai pelanggan tetap menjual semua jenis air panas atau sejuk dengan harga RM1 sahaja sehingga menyebabkan sentiasa dikunjungi orang ramai termasuk dari luar bandar raya ini.

Pengusaha gerai itu, Madi Umar, 57, berkata beliau tidak mementingkan keuntungan, sebaliknya menerapkan konsep sentiasa bersedekah ketika mencari rezeki dan usaha itu ternyata memberi keberkatan kepada perniagaan yang mampu bertahan lama.

"Sedekah tidak jadikan kita miskin dan dengan sedekah jugalah rezeki akan berterusan," katanya ketika ditemui di gerainya di Jalan Sri Perkasa 1/1,Taman Tampoi Utama.

Siapa sangka, formula sedekah diamalkan anak jati FELDA Taib Andak, Kulai itu membolehkan bisnes diusahakan lebih 20 tahun itu bertahan sehingga kini, malah tidak menang tangan menerima kunjungan pelanggan setiap hari.

Madi yang juga dikenali Edi berkata, dia tidak menjadikan isu kenaikan kos bahan mentah sebagai alasan untuk menaikkan harga barang meskipun sedar perkara berkenaan antara aspek perlu dipertimbangkan.

"Cara saya mudah saja, kalau nak rezeki berterusan, kita perlu banyakkan sedekah jariah, malah kalau pelanggan beli lain, saya akan lebihkan yang lain.

"Formula sedekah itu saya nampak kesannya terutama kesenangan, kelapangan serta berkatnya. Sikit tetapi cukup," katanya yang dibantu isteri, Tuti Warni Nadar, 48, bersama dua pembantu.

Katanya, dia akan menghasilkan antara 600 hingga 800 doh roti canai pada setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Rutin harian bermula pada jam 11 malam dan tempoh dua ke tiga jam diperlukan untuk melembutkan doh roti canai membabitkan 30 hingga 40 kilogram tepung gandum.

"Tugasan harian bersambung pada jam 6.30 pagi hingga 12 tengah hari dengan jumlah pelanggan bertambah ramai pada hujung minggu dari Jumaat hingga Ahad," katanya.

Menurutnya, gerai roti canai 50 sen lebih dikenali berbanding dirinya biarpun sudah berpuluh tahun terbabit dalam bidang perniagaan terbabit.

"Sebab itu saya tidak hairan kalau nama saya orang tak kenal tapi roti canai 50 sen yang dikenali orang," katanya yang juga bapa kepada tiga cahaya mata berusia 14 hingga 28 tahun.

Berkongsi pembabitan dirinya dalam bidang itu, katanya semuanya bermula secara kebetulan ketika bekerja di sebuah restoran sekitar 1980-an.

"Pantang ada baki roti canai masih berbaki, saya akan ambil dan tebar sendiri untuk memahirkan diri.

"Tidak sangka ilmu menebar dipelajari dalam tempoh sebulan memahirkan diri saya sehinggalah berjaya membuka bisnes sendiri di gerai nasi campur milik bapa saudara di Jalan Tampoi," katanya.

Katanya, biarpun pernah berputus asa selepas bisnes diusahakan dimusnahkan, dia yang bekerja beberapa bulan di Singapura mendapat tapak baru yang digunakan sehingga kini.

"Sejak 1997 hingga kini, bisnes ini masih bertahan dan syukur Alhamdulillah berkat bersedekah serta amal jariah membolehkan ia terus mendapat perhatian pelanggan.

"Bukan saja nama gerai 50 sen meniti di seluruh negara termasuk Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, tetapi turut dikunjungi pelancong dari Singapura dan Brunei yang tertarik dengan murtabak berharga RM2 sekeping," katanya yang menutup operasi pada Isnin dan Selasa.

Katanya, selain menawarkan roti canai murah, harga air minuman dijual sangat ekonomi dengan semuanya termasuk milo berharga RM1.

Katanya, dia mengamalkan konsep layan diri kerana tidak mempunyai pekerja ramai, malah pelanggan boleh mengambil kuah dalca bersama sambal mengikut selera masing-masing yang turut mempunyai isi sayur, tetel dan kaki ayam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 5:34 PM
MADI menyediakan roti canai 50 sen yang dipesan pelanggan di gerainya di Jalan Sri Perkasa 1/1, Taman Tampoi Utama, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed
MADI menyediakan roti canai 50 sen yang dipesan pelanggan di gerainya di Jalan Sri Perkasa 1/1, Taman Tampoi Utama, Johor Bahru. FOTO Zain Ahmed