PAK Do memakai baju Jalur Gemilang dan van miliknya (gambar kiri) yang dihiasi dengan bendera Malaysia. FOTO NSTP
PAK Do memakai baju Jalur Gemilang dan van miliknya (gambar kiri) yang dihiasi dengan bendera Malaysia. FOTO NSTP
Faliq Lajim


“DULU Pak Do teringin nak kibar jalur gemilang macam orang lain seperti dalam kaca televisyen, namun, masa tu tiada duit nak beli bendera.

“Jadi Pak Do kutip mampu kutip bendera jatuh di atas jalan ketika dalam perjalanan pulang berniaga ikan dari Pasir Mas ke Tanah Merah,” kata Mohd Nasir Mustapha, 60.

Sehingga kini, bendera yang dikutip sejak 2000 lalu oleh Mohd Nasir atau lebih mesra dengan panggilan Pak Do sudah mencecah kira-kira 3,000 helai.

Menurutnya, kesemua bendera yang dikutip itu akan dijadikan perhiasan untuk rumah atau van miliknya.

“Daripada teringin nak kibar bendera, lama-lama ia menjadi sebagai hobi. Jadi Pak Do kutip sehingga hari ini.

“Sekiranya bendera itu koyak dan boleh dibaiki, Pak Do akan jahit semula. Namun, sekiranya ia tidak boleh digunakan lagi, Pak Do hanya simpan dalam rumah.

“Pak Do tak sanggup nak buang bendera ini sebab teringat keringat pejuang merdeka terdahulu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

PAK Do di kediamannya yang dipenuhi dengan bendera Malaysia. FOTO NSTP
PAK Do di kediamannya yang dipenuhi dengan bendera Malaysia. FOTO NSTP

Dalam pada itu, Pak Do yang menetap di Tanah Merah, Kelantan berkata, dia sering disindir oleh rakannya yang mempertikaikan semangatnya untuk mengibarkan jalur gemilang.

“Ada yang cakap dekat Pak Do ‘Kau buat apa ni, orang lain tak buat kenapa kau nak sibuk kibar bendera. Bukan orang hargai pun’.

“Walaupun, geram namun pendekatan Pak Do senang iaitu tidak perlu berkawan dengan orang yang akan memberikan kesan negatif kepada kita.

“Bagaimanapun, kata-kata positif daripada orang ramai membuatkan Pak Do sentiasa bersemangat untuk teruskan kibar jalur gemilang ini sehingga habis hayat,” kata bapa kepada empat orang anak ini.

Sementara itu, Pak Do berkata, dia mempunyai satu baju Malaysia Boleh yang diperbuat daripada jalur gemilang yang disimpan sejak tahun 2014.

“Baju itu, Pak Do simpan sampai sekarang. Sepatutnya, Pak Do guna baju itu ketika perlawanan akhir bola sepak yang membabitkan pasukan daripada Malaysia dan Thailand pada tahun 2014.

“Itu memang impian Pak Do sampai sekarang nak pakai baju itu ketika Malaysia lawan pada peringkat akhir. Cuma tak dapat peluang itu lagi.

“Kadang-kadang perbelanjaan Pak Do hanya sekadar cukup makan. Jadi untuk ke Kuala Lumpur itu makan banyak belanja ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Ogos 2019 @ 11:02 PM